NURUL HAIDA MOHAMAD
NURUL HAIDA MOHAMAD 

Wakil Wanita UMNO Pulau Pinang, Nurul Haida Mohamad berkata, hal itu dapat dilihat apabila kes salah guna kuasa yang melibatkan kepemimpinan tertinggi PH digugurkan tanpa sebarang sebab.

“Sejurus menang, bukan hanya manifesto gagal ditunaikan malah kes Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibebaskan tanpa sebarang perbicaraan menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun terkejut.

“Kalau benar Guan Eng tidak bersalah, kenapa tidak melalui proses perundangan yang sewajarnya? Kalau tidak bersalah, apa yang mahu ditakutkan? Cakap tak serupa bikin sahaja PH ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbahasannya tentang usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam usul yang sama, Nurul Haida yang juga Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian Kepala Batas mendakwa, kerajaan PH bukan hanya gagal menunaikan janji mewujudkan satu juta peluang pekerjaan baharu malah mereka turut melakukan pembuangan kerja terhadap kakitangan awam.

Kata beliau, perkara itu dapat dilihat sejurus 24 jam kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan iaitu membuang penjawat awam yang dilantik atas sebab politik.

“Itu saya boleh terima tetapi selepas itu mereka buang guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan dan terbaharu pada 15 Oktober depan seramai 840 kakitangan awam berstatus kontrak akan dibuang termasuk saya sendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE