Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, melalui perkhidmatan digital, kerajaan akan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam iaitu selari dengan usaha pelaksanaan rasionalisasi kawalan saiz perkhidmatan awam.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan adalah perkhidmatan dalam talian Portal Kerajaan Malaysia (malaysia.gov.my), perkhidmatan ini memudahkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara digital dan lancar walau di mana mereka berada.

“Antara perkhidmatan yang disediakan secara digital ialah permohonan bantuan perniagaan, pendidikan, kerjaya, pelancongan dan kebudayaan, perumahan, kewangan dan cukai; imigresen dan visa, kebajikan, keluarga dan masyarakat serta kesihatan.

“Mengambilkira perkembangan era pendigitalan revolusi perindustrian 4.0, Kerajaan juga telah melaksanakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai bagi urusan pembayaran di kaunter atau secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ismail, pembayaran tanpa tunai di kaunter atau secara dalam talian itu boleh dinikmati menerusi program dan penggunaan aplikasi e- Pembayaran seperti MyBayar, MyPay dan juga JomPAY.

Selain itu katanya, bagi meningkatkan integriti dan urus tadbir penjawat awam, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 dan memperkemaskan sistem penilaian prestasi yang kini dikenali sebagai MyPerformance.-UTUSAN ONLINE