Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, sumbangan tersebut telah diluluskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.

Kenyataan itu menyebut, sumbangan itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan besar Allahyarham dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menurutnya, biarpun sumbangan ini tidak dapat dibandingkan dengan kesedihan balu Allahyarham, ia diharap membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Allahyarham.

"Kerajaan negeri mendoakan semoga balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun terus dikurniakan ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang amat sukar ini.

"Kerajaan negeri juga bersedia menghulurkan bantuan susulan bagi mengurangkan bebanan beliau dalam membesarkan anak-anak," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, sumbangan tersebut akan disampaikan kepada balu Allahyarham esok.

Allahyarham Mohd. Zahir yang juga anak kepada seniman terkenal, AR Badul meninggal dunia Rabu lalu selepas terkena tembakan ketika demonstrasi latihan di Kem Lok Kawi, Sabah. - UTUSAN ONLINE