Yusri Mohamad

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad berkata, sebagai sebuah badan dakwah, Yadim sangat menyam­but baik semua inisiatif yang diberikan oleh kerajaan bagi memartabatkan institusi agama Islam di negara ini.

“Kerajaan ternyata telah me­ngotakan janjinya untuk memartabatkan institusi agama Islam di negara ini melalui pemberian peruntukan khas sebanyak RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) bagi memastikan suasana pembelajaran dan pengajaran di institusi tersebut dapat berlangsung dalam keadaan yang baik dan selesa.

“Peruntukan sebanyak RM588 juta untuk bayaran elaun bulanan kepada para imam, bilal, guru KAFA, guru takmir, dan Tok Siak, serta bayaran khas sekali beri sebanyak RM1,500 kepada mereka dilihat sebagai usaha murni kerajaan bagi mengiktiraf jasa mereka yang berusaha memartabatkan syi­ar Islam di negara ini selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Yadim percaya peruntukan-peruntukan khas daripada kerajaan tersebut sedikit sebanyak mampu memartabatkan institusi pendidikan Islam negara sebagai pusat melahirkan generasi Islam yang seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

Selain itu, Yusri berkata, Yadim sangat menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan industri halal negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyeluruh.

“Pemberian penekanan terhadap industri halal telah membuktikan kerajaan amat menitikberatkan aspek keperluan masyarakat Islam di negara ini dan usaha ini tidak pernah berhenti sejak dari zaman pasca kemerdekaan sehingga hari ini.

“Usaha kerajaan untuk memastikan lebih banyak produk halal dapat dihasilkan di negara ini untuk pasaran tempatan dan pasaran luar negara merupakan satu usaha yang wajar disokong sepenuhnya oleh semua pihak khususnya pertubuhan-pertubuhan Islam termasuk Yadim,” katanya.

Yadim menyifatkan Bajet 2018 yang dibentangkan oleh kerajaan kali ini merupakan satu bajet yang menyeluruh tanpa mem­belakangkan kepentingan agama Islam dan menepati prinsip Maqasid Syariah.