Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pengisytiharan harta sewajarnya dilakukan kepada pihak berwajib sahaja seperti SPRM bagi mengelak sebarang perkara negatif atau bahaya kepada ADUN yang mempunyai harta yang banyak.

 Bagaimanapun, Mohd. Amar menolak pandangan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang mendakwa negeri sebagai lubuk rasuah.

 "Alasan itu tak betul, tapi untuk kawal dan pantau kita setuju tetapi jangan tuduh negeri sebagai lubuk rasuah. Bagi kami tidak ada masalah apa kerana biasanya kami orang Pas tiada harta, jadi tiada masalah, kami bersedia, malah Exco sejak dahulu isytihar harta kepada Menteri Besar.

 "Kalau perkara ini jadi peraturan dan arahan kerajaan kita akan ikut, cuma pandangan saya pengisytiharan perlu dibuat kepada kerajaan sahaja dan tidak didedahkan kepada orang ramai sebab kalau kita ada harta yang banyak dan diisytiharkan ke seluruh negara, ia akan mendedahkan individu itu kepada kemungkinan negatif, contohnya kalau kepada SPRM atau Perdana Menteri maka tidak ada masalah,"katanya.

 Beliau berkata demikian selepas merasmikan Rumah Ronald Mc Donald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

 Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan wanita negeri, Mumtaz Md Nawi;  Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia yang juga Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim.

RRM di Hospital USM ini yang bernilai RM4 juta adalah yang kedua selepas yang pertama dibina di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) pada 1999 hasil sumbangan pelanggan-pelanggan McDonald ke dalam tabung RMHC yang diletakkan di rangkaian restorannya di seluruh negara.

 Hari ini, akhbar melaporkan Latheefa mahu mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah. - UTUSAN ONLINE