Ganti rugi berkenaan adalah berhubung penggantungan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily oleh KDN selama tiga bulan pada 2015 berhubung laporan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching yang mewakili Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden selepas pengurusan kes di kamar hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan dihadiri peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman bertindak bagi pihak The Edge.

Alice ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya akan mendapatkan alasan penghakiman berhubung ganti rugi berkenaan yang diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norazlin Othman sebelum ini.

The Edge Communications memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai 2015 terhadap Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan perintah supaya mahkamah tinggi menolak keputusan Menteri Dalam Negeri menggantung permit penerbitan kedua-dua penerbitan berkenaan.

KDN sebelum ini menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula pada 27 Julai 2015, bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 September 2015 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman syarikat itu.

Mahkamah Tinggi dalam keputusannya berpendapat, surat tunjuk sebab KDN bertarikh 29 Jun 2015 tidak memperincikan artikel yang didakwa mendatangkan kegusaran dan memerintahkan supaya penilaian dilakukan bagi menaksir ganti rugi yang dialami The Edge.

KDN kemudian merayu bagi penilaian ganti rugi, bagaimanapun Mahkamah Rayuan menolak rayuan itu pada 30 Ogos 2016.

Pada 9 Ogos 2017, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian yang dialami selepas menolak rayuan KDN.

Berikutan keputusan itu, Norazlin dalam keputusannya pada 17 Disember tahun lalu, memerintahkan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri membayar ganti rugi sebanyak RM11,260,350.00 kepada dua penerbitan The Edge itu. - UTUSAN ONLINE