Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, set baharu itu juga dijangka bakal digunakan bagi laluan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) yang bakal siap pada Oktober 2021.

“Apabila laluan tersebut siap, masa perjalanan tren penumpang dari Johor Bahru ke Padang Besar juga dijangka dapat dipendekkan daripada kira-kira 11 jam 30 minit ketika ini kepada hanya 7 jam 30 minit.

“Unjuran jumlah penumpang tahunan juga bakal meningkat daripada 4 juta orang kepada 9 juta orang iaitu penambahan sebanyak 5 juta penumpang,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Edaran Pek Hari Raya dan Berbuka Puasa Bersama Media di Stesen KL Sentral di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KTM Bhd., Mohd. Rani Hisham Samsudin.

Dalam pada itu, menurut Kamarudin, KTMB bakal menyediakan set tren baharu yang lebih moden dan selesa iaitu Diesel Multiple Units (DMU) bagi laluan ke Pantai Timur.

“Kita jangkakan set DMU ini akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini malah selepas Hari Raya Aidilfitri ini laluan percubaan akan dimulakan supaya bagi memastikan ia betul-betul mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rani Hisham memberitahu, sebanyak 2,275 tiket tambahan tren Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) khas sempena Hari Raya Aidilfitri untuk perjalanan di antara Kuala Lumpur dan Padang Besar pada tarikh 1 hingga 4 Jun dan 7 hingga 10 Jun masih boleh dibelu.

Katanya, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 4,992 tiket dengan 2,717 tiket telahpun habis dijual.

“Daripada jumlah keseluruhan 2,275 tiket tersebut, masih ada 1,148 tiket perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar manakala 1,127 tiket sahaja lagi dari Padang Besar ke Kuala Lumpur.

“Bagi perjalanan dari Kuala Lumpur Padang Besar, tiket ETS semuanya telah habis dijual pada tarikh 1 Jun manakala bagi perjalanan dari Padang Besar ke Kuala Lumpur, tiket ETS telah habis dijual pada tarikh 8, 9 dan 10 Jun,” katanya. - UTUSAN ONLINE