Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak dapat melaksanakan penghapusan tol sebagaimana dijanjikan buat masa ini, walaupun sedar langkah tersebut dikecam oleh rakyat yang menuntut kepada janji berkenaan.

“Kecaman rakyat memang akan datang apabila kita putuskan untuk tidak hapuskan tol. Tetapi rakyat mesti faham, walaupun mereka tidak bayar tol, kerajaan tetap kena bayar tol, dan kerajaan bayar tol daripada duit yang dikutip daripada rak­yat, akhirnya rakyat membayar melalui kerajaan.

“Kerajaan perlu membeli le­buh raya melalui duit cukai yang dikutip daripada rakyat dan jalan juga mesti diperbaiki sepanjang masa dan memerlukan perbelanjaan daripada kerajaan, tidak lagi oleh syarikat.

“Ini juga bermakna sebahagian cukai yang dikutip mestilah diguna untuk menyenggara jalan. Ini bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk projek-projek lain yang diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelantar Metrod Holdings Berhad, di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi negatif rakyat berhubung langkah kerajaan menghapuskan kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi dan menggantikannya dengan caj kesesakan.

Dalam perkembangan ber­asingan pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan meneruskan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) jika berpuas hati dengan harga yang dipersetujui China.

“Jika harganya bersesuaian, kita akan teruskan tetapi pada masa ini kita belum lagi tidak bersetuju dengan harga yang diberikan,” katanya.