Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, langkah itu bagi membuka peluang terbaik PKS dan pengendali pelancongan bagi memasarkan produk di seluruh dunia menerusi rantau Asia Barat.

“Malaysia, melalui Kementerian Pembangunan Usahawan mengalu-alukan peluang ini untuk PKS seperti Gigalink Solutions untuk mengembangkan kehadiran mereka di seluruh dunia.

“Penerapan teknologi pintar telah mewujudkan pelbagai peluang untuk PKS Malaysia bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di pasaran global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Redzuan berkata, kerajaan Malaysia akan terus menggalakkan PKS tempatan meningkatkan eksport produk dan perkhidmatan untuk dikembangkan di luar Malaysia.

“Kementerian melalui agensinya seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) menyeru kepada semua yang berminat untuk meneroka peluang baru dengan mewujudkan kerjasama antara pelabur utama Dubai,” katanya. - UTUSAN ONLINE