Menurut beliau, kerajaan sebaliknya memutuskan untuk menjual semua konsesi ladang dimiliki syarikat Sime Darby berkeluasan 220,000 hektar itu.

"Seumpama hari ini kahwin esok takkan beranak, apa yang mereka tanam hanya mula matang dan berhasil sekarang tapi dijual pulak.

"Oleh kerana ada pihak yang minat untuk mengambil alih konsesi mereka di Liberia dan dengan alasan operasi mereka di sana masih mengalami kerugian, Sime Darby di bawah kerajaan PH mengumumkan akan jual semua ladang mereka di Liberia selewat-lewatnya pada akhir tahun ini," katanya menerusi perkongsian status dalam Facebooknya hari ini.

Tambah beliau, sudah 63 tahun Sime Darby memegang konsesi ladang tersebut yang luasnya tiga kali ganda melebihi keluasan Singapura.

"Sime Darby memiliki konsesi ladang sawit dengan keluasan 220,000 hektar di negara Liberia di Afrika. Konsesi yang luasnya 3 kali jumlah keluasan Singapura adalah selama 63 tahun. Pokok kelapa sawit mula ditanam bermula tahun 2011.

"Setakat ini, kumpulan itu sudah menanam kelapa sawit seluas 10,280 hektar dan 121 hektar dengan getah. Seumpama hari ini kahwin esok takkan beranak, apa yang mereka tanam hanya mula matang dan berhasil sekarang tapi dijual pulak," ujarnya.

Bernama sebelum ini melaporkan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. merancang untuk keluar dari Liberia menjelang akhir tahun ini.

Menurut Pengarah Pengurusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha, pihaknya sedang berbincang dengan pihak berminat untuk mengambil alih konsesi yang dipegang selama 63 tahun itu.

Bagaimanapun, tambah beliau, jika tiada persetujuan dicapai menjelang akhir tahun, Sime Darby akan menyerahkan kembali konsesi kepada kerajaan Liberia.

Sime Darby memiliki 220,000 hektar tanah di Grand Cape Mount, Bomi, Gbarpolu dan Bong yang sebelum ini dianugerahkan oleh kerajaan Liberia untuk dibangunkan sebagai ladang getah dan kelapa sawit. - UTUSAN ONLINE