Sehubungan itu, sebuah perhimpunan besar-besaran secara aman akan diadakan tidak lama lagi bagi mendesak penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan pihak berkenaan terhadap isu tersebut.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Kamaruzaman Mohamad berkata, perhimpunan tersebut juga disifatkan sebagai isyarat jelas kepada kerajaan untuk tidak mengambil ringan tentang isu penghinaan agama serta kebencian kaum.

“Penghinaan terhadap agama Islam dan bangsa sedang berlaku dengan rancak dan perkara ini seperti dirancang kerana seolah-olah mendapat perlindungan apabila tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

“Jadi perhimpunan hari ini dan akan datang merupakan isyarat kepada pihak berkuasa termasuk polis, mahkamah dan Peguam Negara untuk tidak berlembut dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap agama dan kaum,” katanya selepas mengetuai Himpunan Aman Ancaman kepada Kedaulatan Islam di pekarangan Masjid Negara sini hari ini.

Dalam perhimpunan anjuran Ummah itu, kira-kira 500 umat Islam terdiri daripada lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berhimpun secara aman selepas selesai solat Jumaat.

Yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Kamaruzaman berkata, perhimpunan itu bertujuan mendesak kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina Nabi Muhamad SAW.

“Selain itu, perhimpunan ini juga untuk mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan, pembelaan terhadap anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kasim, 24, dan isu penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong serta isu-isu perkauman.

“Mereka secara terang membuat penghinaan ini dan tindakan itu sangat biadab, tetapi malangnya hanya segelintir kecil yang diambil tindakan dan tindakan juga diambil atas kesalahan sangat ringan sedangkan kesalahan ini sangat besar, berat dan menghina Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.