Menurut kementerian itu, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Tegas kementerian itu, tulisan tersebut juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

Jelas kementerian tersebut, perancangan pengenalan tulisan khat telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak tahun 2014 dan usaha itu juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan.

“Pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat ini seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Isu pengenalan tulisan khat dan Jawi mendapat bantahan dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang menolak langkah tersebut.

Dong Zong dan Jiao Zong malah dilaporkan bertekad mahu mengadakan perhimpunan bagi membantah penambahan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 termasuk di sekolah vernakular seperti yang dirancang.

Kementerian Pendidikan menjelaskan mengambil maklum pelbagai respons terhadap isu tersebut namun tidak menuruti desakan yang dibuat.

“Kementerian komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan,” jelas Kementerian Pendidikan lagi. - UTUSAN ONLINE