Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pihaknya bimbang sekiranya berlaku sebarang penularan wabak penyakit berikutan malapetaka yang melanda kawasan itu.

“Kita sangat bimbang sekiranya kejadian ini bertambah buruk sehingga mengakibatkan penularan sebarang wabak berbahaya. Pasukan kita telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ketika ini, kita sedang bertungkus-lumus bersama pasukan lain membantu mangsa di pusat pemindahan.

“Semua pasukan perubatan juga telah bersiap sedia di Hospital Tanah Rata dan klinik-klinik berhampiran sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Seminar Kepimpinan Strategik Masyarakat India dan Kerajaan anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF), Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Subramaniam turut mengingatkan masyarakat umum supaya lebih bertimbang rasa dan prihatin terhadap persekitaran bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang pada masa akan datang.

“Antara maklumat awal yang diterima, sungai di kawasan kejadian penuh dengan sisa pepejal serta sampah sarap sehingga mengakibatkan kejadian banjir yang akhirnya telah meragut nyawa. Selain daripada itu, kejadian banjir dan tanah runtuh berlaku kerana pembalakan dan pembukaan tanah secara haram.

“Mengapa kita tidak prihatin dengan semua ini? Kerana tamak dan pentingkan diri, akhirnya kita sendiri yang mengakibatkan malapetaka. Sekiranya kerajaan kata jangan tebang pokok, janganlah tebang. Kesemua aktiviti haram akhirnya akan memberi kesan negatif bukan sahaja sekarang tetapi 10 tahun akan datang. Kesedaran sivik perlu dibentuk agar perkara sebegini tidak berlaku. Jangan terlalu leka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Subramaniam yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC menyeru semua pe­mimpin MIC di peringkat bahagian perlu aktif bagi memastikan program transformasi kerajaan untuk masyarakat India dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Jelas beliau, ketua bahagian merupakan medium terbaik bagi menyalurkan maklumat serta agenda kerajaan kepada masyarakat.

“Walaupun kami di barisan ter­tinggi parti mempunyai pelbagai perancangan, ia mustahil untuk dilaksanakan jika tiada komitmen dari ketua-ketua bahagian. Semua ketua perlu melengkapkan diri de­ngan semua informasi, agenda serta polisi kerajaan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Seminar tiga hari yang bermula semalam disertai lebih daripada 100 ketua bahagian MIC seluruh negara.