Irmohizam Ibrahim
IRMOHIZAM IBRAHIM

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan itu turut menunjukkan ketegasan dan kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini.

Menurutnya, keputusan itu juga penting untuk menghentikan isu berkenan terus berpanjangan dan menjadi polemik politik.

"Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan untuk wujudkan pindaan undang-undang negara bagi memastikan keutuhan Bahasa Melayu terjamin dalam mana-mana polisi kerajaan termasuklah sektor swasta.

"Penguasaan Bahasa Kebangsaan bukanlah semata-mata dilihat sebagai satu syarat kelayakan sahaja, tetapi ia berkait dengan jati diri serta semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Kabinet semalam mengambil keputusan menarik balik kelonggaran syarat kelayakan lulus subjek Bahasa Melayu pada peringkat SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD 41.

Malah Timbalan Perdana Menteri turut menegaskan jemaah menteri akan mencadangkan supaya Akta Perubatan 1971 dipinda untuk mewajibkan perkhidmatan Pegawai Perubatan selama dua tahun selepas tamat housemanship dan memasukkan syarat kelulusan bahasa Melayu.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu, ketegasan kerajaan itu perlulah dihormati oleh semua pihak dan dijadikan sebagai pemangkin untuk memartabatkan lagi bahasa kebangsaan itu.

"Semua pihak haruslah mengambil maklum bahawa bahasa Melayu ini haruslah dimartabatkan oleh semua tanpa mengira apa bangsa.

"Keputusan kabinet dalam mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan membawa maksud yang jelas agar ianya ditimbulkan semula terutamanya dari sudut politik," ujarnya.