Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, calon akan menerima keputusan peperiksaan itu melalui pos atau menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri yang mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan.

“Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan SPMU 2019 melalui pesanan ringkas, mySMS 1588 atau melayari laman web Lembaga Peperiksaan, sppat.moe.gov.my/semakan.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi Rabu depan hingga 6 petang 3 September ini,” katanya di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu, tiga mata pelajaran ditawarkan dalam peperiksaan tersebut iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Katanya, kesemua calon terbabit telah berdaftar menduduki peperiksaan SPM Ulangan di 203 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Tambah kenyataan itu, seramai 1,572 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan proses peperiksaan tersebut berjalan lancar. - UTUSAN ONLINE