Michael Froman

“TPPA merupakan perjanjian yang bersejarah, kita mulakan bersama-sama beberapa tahun lepas , ia pakatan yang hebat, komprehensif dan mempunyai standard yang tinggi.

“Ia adalah hasil produk negara-negara, kecil dan besar, maju dan membangun, di Asia dan negara di hemisfera barat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pemeteraian pakatan perdagangan itu.

Froman juga menjawab soalan mengenai kebimbangan dalam kalangan mereka yang menentang TPPA bahawa multinasional mempunyai ‘Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negeri’ (ISDS) untuk menyaman kerajaan.

“Kami membuat kesimpulan itu secara kolektif bagi memastikan prosedur ISDS digunakan dengan sewajarnya.

“Kami berkongsi pelbagai kebimbangan yang dibangkitkan me­ngenai ISDS sepanjang rundingan. Itu sebab perjanjian itu lebih meluas berbanding mana-mana perjanjian sebelum ini, dalam aspek meningkatkan standard, menambah prosedur perlindungan, menangani sebarang kelemahan yang kami kesan dalam perjanjian lain di seluruh dunia sebelum ini, bagi memastikan kerajaan boleh mengawal, semata-mata bagi melindungi kepentingan umum,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan memasukkan China dalam TPPA, Froman berkata, mempunyai hubungan ekonomi yang konstruktif dengan China sangat penting.

Beliau menegaskan bahawa pakatan perdagangan itu tidak menentang mana-mana negara.

Sementara itu, TPPA ditandatangani oleh Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Walaupun semua ketua perunding negara masing-masing memperhalusi perjanjian sebaik mungkin sebelum menandatangani perjanjian itu, penunjuk perasaan anti-TPPA terus me­nunjukkan rasa tidak senang di beberapa negara beberapa hari sebelum ini, sehingga hari ini termasuk di sini.

Awal pagi lagi, tahap kese­lamatan di sekitar Pusat Konvensyen SkyCity, tempat berlangsungnya majlis pemeteraian TPPA, diperketat oleh polis apabila kumpulan besar penentang mula bekumpul, mengedarkan risalah dan melaungkan perkataan bahawa TPPA merupakan perjanjian yang tidak baik.

New Zealand, yang menjadi tuan rumah wakil 11 negara, merupakan antara empat anggota asal perjanjian yang pada peringkat awal dikenali sebagai Perkongsian Ekonomi Trans-Pasifik pada 2006, bersama-sama Singapura, Chile dan Brunei.

New Zealand juga merupakan depositori undang-undang TPPA, yang akan bertanggungjawab mentadbir perjanjian se­perti menerima dan mengedar makluman dan permintaan yang dibuat menerusi TPPA. – BERNAMA