Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia malah beranggapan keputusan yang dilakukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook itu akan memberi peluang dan masa kepada pemandu e-hailing memperoleh lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Sambil mengalu-alukan keputusan itu, Grab Malaysia turut menyatakan langkah Anthony itu adalah adil, bertentangan dengan apa yang didakwa sesetengah pihak kononnya pemandu mereka diberi tempoh selama setahun untuk menyelesaikan segala proses mendapatkan PSV.

Kata syarikat itu, beberapa syarat penting seperti latihan dan peperiksaan sebenarnya hanya ditetapkan tiga bulan lalu manakala perkara lain beberapa hari lalu.

“Kami benar-benar menghargai apa yang dilakukan Anthony lebih-lebih lagi selepas mengalami penurunan pemandu sebanyak 20 peratus sehingga memberi masalah kepada penumpang mendapatkan perkhidmatan, malah pemandu juga mengalami kerugian pendapatan.

“Tumpuan kami ketika ini adalah untuk cuba membantu menyelesaikan beberapa isu termasuk isu kapasiti di cawangan pihak berkuasa yang tidak mampu memproses jumlah permohonan yang banyak.

“Daripada pertengahan April lalu, ramai tenaga kerja kami telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan perkara itu. Kami cuba menyelaraskan permohonan PSV dengan mengumpul dan menyerahkan dokumen pemandu kami kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata kenyataan itu yang dimuat naik dalam akaun Facebook Grab Malaysia, semalam.

Anthony dalam sidang akhbar di Putrajaya semalam memberitahu pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan untuk perkhidmatan itu dibenarkan meneruskan operasi mereka selama tiga bulan lagi.

Jelas Anthony, kerajaan telah memutuskan agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang bermula semalam dilaksanakan melalui pendekatan soft landing. - UTUSAN ONLINE