Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bedah siasatan terhadap mayat tersebut selesai dijalankan dan sampel telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut.

“Ujian sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Enam kes lagi telah disahkan positif measles (demam campak) melalui ujian makmal dan menjadikan jumlah 43 kes disahkan dimakmal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum ini memaklumkan 37 daripada 112 pesakit Orang Asli Suku Bateq di Kg. Kuala Koh yang diselubungi penyakit misteri telah disahkan menghidap wabak demam campak menerusi ujian makmal terhadap 170 penduduk.

Pada masa sama, Dzulkefly memaklumkan, mesyuarat Kabinet hari ini telah membincangkan situasi terkini jangkitan pernafasan itu yang berlaku di dalam kalangan Orang Asli terlibat.

Katanya lagi, Jemaah Menteri juga dimaklumkan berhubung langkah-langkah diambil Kementerian Kesihatan termasuklah imunisasi dan diagnosis wabak measles di kawalan terlibat.

Beliau selain itu, menjelaskan situasi wabak itu masih berada dalam keadaan terkawal dengan langkah sewajarnya sedang dibuat melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Selalunya wabak ini ada musimnya dan kita tidak tahu apa punca utama wabak ini, mungkin ia ada orang yang keluar dan masuk.

“Namun kita bagi tempoh dua minggu untuk melihat sama ada ia akan kembali reda,” katanya. - UTUSAN ONLINE