Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, dalam isu Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat kelayakan tersebut bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41, keputusan itu mungkin kerana kakitangan terbabit dilantik secara kontrak.

‘‘Sudah menjadi SOP kerajaan bahawa kelulusan matapelajaran itu adalah syarat wajib untuk mana-mana pegawai yang mahu bekerja dengan kerajaan.

‘‘Dalam hal (isu) ini, mereka (pegawai UD41) bukan bekerja secara tetap tetapi kontrak, maka mungkin kelonggaran diberikan dalam perkara tersebut.

‘‘Saya melihat keputusan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kementerian berhubung perkara ini adalah berdasarkan aspek pegawai yang dilantik bukan sebagai penjawat awam tetap tetapi pegawai kontrak,’’ katanya dalam sidang akhbar semasa berkunjung ke Rumah Terbuka Gawai Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi serta beberapa menteri Kabinet negeri.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran itu adalah bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak mengambil subjek Bahasa Melayu dalam SPM.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, bagi mengelak isu tersebut berterusan menjadi polemik dan dimanipulasi oleh pihak berkepentingan terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), maka beliau meminta Menteri Kesihatan, Datuk Dr. S. Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun memberi penjelasan berhubung perkara itu dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.

‘‘Kabinet akan meminta Menteri Kesihatan untuk membuat penjelasan mengenai isu kontroversi terbabit yang menjadi perhatian ketika ini.

‘‘Saya juga meminta Menteri bertanggungjawab terhadap JPA iaitu Joseph Entulu untuk memberi maklumat mengikut per­spektif jabatan itu bagi memberi pencerahan terhadap isu yang menjadi polemik di peringkat akar umbi terutama dalam kalangan pejuang bahasa kebangsaan,’’ ujarnya.

Ahmad Zahid berkata, isu tersebut perlu ditangani dengan fikiran terbuka dengan mende­ngar penjelasan daripada kedua-dua menteri berkenaan terlebih dahulu.