Jadi, satu makanan yang terlintas di fikiran penulis di sini ialah kebab.

Tanggapan pertama penulis adalah semua kebab mempunyai resipi asas yang sama iaitu daging diperap dengan rempah-ratus diletakkan pada pencucuk menegak dan dibakar sebelum diisi di dalam roti pita bersama sayur-sayuran dan sos, tetapi bagi Abdul Rahman, 39, penjual kebab di sini, menjanjikan kelainan.

“Tidak. Ia satu gambaran yang salah. Kebab tidak dibuat sama semuanya dan rasanya juga tidak sama. Setiap kedai mempunyai resipi dan cara memasak yang tersendiri. Jadi, kebab di sesebuah kedai tidak sama rasanya seperti di kedai lain. Seperti manusia, kebab juga mempunyai rupa yang berbeza.

“Saya telah membuat kebab dengan ayah di kedai ini sejak saya kecil lagi. Pada mulanya, ayah saya sangat keberatan untuk mengajar saya resipi rahsia sosnya kerana sos ini yang menjadikan kebab kami unik daripada kedai lain,” kata penjual berketurunan Bangladesh-Arab itu kepada Bernama.

Kebab dipercayai berasal dari Empayar Othmaniah dan berevolusi kepada pelbagai jenis serta kebab doner dikatakan sebagai varian yang paling terkenal.

Ketika ditanya apa yang menjadikan setiap kebab mempunyai rasa berbeza, Abdul Rahman terus menarik tangan penulis dan meletakkan sos resipi rahsianya di atas tapak tangan penulis dan berkata: “Rasa ini!”

Sos sedikit masin dengan kepedasan minimum itu terus ‘menjentik’ deria rasa penulis dan sos itu benar-benar meningkatkan rasa daging lembu panggang yang sempurna.

“Bergantung kepada pemilik kedai, ada yang bermain dengan sos seperti saya, tetapi mereka menggunakan mayonis yang berlainan. Ada penjual yang menggunakan pelbagai herba dan rempah seperti ketumbar dan safron dalam roti pita, mereka juga memasukkan perasa pada daging yang berbeza.

“Ada peniaga yang mempelbagaikan tekstur kebab dengan menggunakan sayur-sayuran dan roti pita yang berbeza. Ada juga kebab ikan, makanan laut dan kambing. Ia bergantung kepada pemilik kedai untuk menjadikan kebab mereka lebih enak dan dapat dijual,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kebab merupakan hidangan yang sentiasa berubah mengikut cita rasa orang dan terbaharu, kentang goreng ditambah ke dalam kebab bagi menggantikan kentang rebus atau panggang.

Dijual pada harga SR5 (RM5.49) bagi satu kebab di Makkah dan Madinah, ia merupakan makanan segera muktamad bagi penulis yang membawa kepada ‘pengembaraan kebab’ di setiap kedai yang ada di dua Tanah Suci itu untuk merasai keunikan hidangan yang popular di Timur Tengah ini.- BERNAMA