Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, tindakan Yew Yin yang menyifatkan anggota pasukan keselamatan hanya makan dan tidur sahaja cukup keterlaluan dan melampau sekali gus tidak mengenang jasa tentera yang banyak berkorban bagi menjaga keamanan negara selama ini.

Justeru, beliau mengesa ahli perniagaan itu agar tampil memohon maaf secara terbuka kerana telah mengores hati warga tentera selain kerajaan perlu memandang serius isu berkenaan.

"Selama ini, anggota tentera telah berjuang mempertahankan negara. Tidak semestinya kita perlu sentiasa berperang kerana dalam masa sama anggota ini juga sentiasa bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

"Bayangkan bagaimana perasaan anggota tentera selepas dilabelkan hanya tahu makan dan tidur sahaja sedangkan mereka ini sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjaga keamanan. Yew Yin perlu segera meminta maaf," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat mereka yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Tambah Noor Hairi, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga perlu bertindak tegas terhadap ahli perniagaan ini dan membela anggota tentera yang telah dihina itu.- UTUSAN ONLINE