"Ia juga dikhuatiri menghantar mesej yang salah kepada rakyat, seakan-akan jagoan Kuantan ini tidak tahu bertindak lebih matang sebagai anggota kerajaan."

Itu kenyataan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad terhadap ulasan Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berhubung isu Lynas di media sosial.

Beliau berkata, kenyataan Fuziah yang dimuat naik di media sosial, seolah meremehkan usaha Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin membantu menyelesaikan isu Lynas apabila dengan sinis menyatakan ia patut dibuat di Ampang sahaja.

"Ini bukan sahaja kenyataan yang tidak langsung dapat menyelesaikan masalah, namun jagoan isu Lynas tersebut juga seolah meremehkan usaha pihak kerajaan yang ingin bersama mencari jalan keluar bagi menyelesaikan isu tersebut," jelasnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kata Nor Hizwan lagi, Zuraida ketika ditanya wartawan sewaktu dalam rangka lawatan kerja ke Pahang hujung minggu lalu, dengan jelas telah menyatakan bahawa selaku anggota Kabinet, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menerima keputusan majoriti anggota Kabinet.

Jelasnya, keputusan Kabinet itu dibuat setelah perbincangan panjang serta pelbagai pertimbangan dibuat, termasuk impak sosial, alam sekitar serta ekonomi kepada negara.

Justeru katanya, bertindak selaku seorang menteri, Zuraida menawarkan peranan dalam membantu rakyat khususnya untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang bagi memastikan agar semua garis panduan dipatuhi dalam mengenal pasti Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas.

"Ini jelas lebih baik daripada status quo yang kelihatan seolah-olah ia tanpa kawalan dan mendatangkan kegusaran orang awam.

" Sewajarnya cadangan ini disambut baik dalam usaha pihak kerajaan mengawal dengan ketat isu pelupusan sisa yang selama ini menyelubungi rakyat khususnya di sekitar Kuantan," katanya.

Tambah Nor Hizwan, Fuziah wajar meningkatkan daya berkomunikasi dengan tidak bertikam lidah di hadapan khalayak atas sesuatu isu.

" Semoga isu Lynas ini dapat diselesaikan dan membawa manfaat serta kelegaan kepada semua pihak yang terlibat, " katanya. - UTUSAN ONLINE