Oleh kerana Pas konsisten merujuk kepada al-Quran dan Sunnah dalam menggerakkan langkah politik mengikut waqi' atau tempat, maka segala suruhan Islam, Pas turuti.

Demikian dikongsikan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkenaan mengapa parti itu perlu bekerjasama dengan UMNO yang menepati pendekatan dituntut oleh Islam.

Menurutnya, terdapat banyak ayat di dalam al-Quran yang menyeru kepada penyatuan ummah, justeru, kerjasama atau Ta'awun antara Pas dan UMNO ketika ini adalah satu keperluan dan semua ahli Pas wajib memberi tsiqah atau kepercayaan kepada kepemimpinan.

"Dari sudut politik pula, Pas bertanggungjawab mengembalikan kuasa politik Islam dan Melayu ke posisi sepatutnya kerana demografi penduduk menunjukkan majoriti rakyat berketurunan Melayu dan Islam iaitu mencecah hampir 70 peratus.

"Jadi, politik Islam dan Melayu mestilah dominan. Mengapa perlu baki peratus minoriti menguasai politik negara sedangkan masyarakat asal masih majoriti," soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sabtu ini, Pas dan UMNO bakal melakar sejarah baharu dalam politik tanah air apabila akan memeterai Piagam Muafakat Nasional selepas mencapai kata sepakat untuk bekerjasama mengharungi cabaran arus perdana politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri berkata, faktor lain yang menyebabkan mereka bekerjasama adalah kerana UMNO kini juga sebagai parti pembangkang sama seperti Pas.

"UMNO jelas menyatakan kedudukan Islam dalam perlembagaannya, sama seperti Pas. UMNO hadir ke masjid dan surau, sama seperti Pas, inilah titik persamaan antara kedua-dua parti ini maka tidak pelik jika Pas dapat bekerjasama dengan UMNO," katanya.

Tambah beliau, UMNO juga hari ini sanggup mengikuti Islam sebagai asas perpaduan dan sekiranya Pas masih berpegang kepada emosi dan sentimen lalu, maka mereka tidak boleh menyesal di kemudian hari.

"Bahkan Pas akan dianggap sombong dan ego apabila ahli-ahlinya masih belum sedar tentang kedudukan politik negara hari ini. Dimanakah Islam yang kita nak tonjolkan, sedangkan Islam itu bersifat pemaaf, tegas dan bermaruah," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan apa cara sekali pun sebagai strategi dan helah untuk memisahkan kedua-dua parti itu atau menggagalkan muafakat tersebut.

"Hakikatnya, mereka sedang mengadu-domba, menggunakan teknik 'pecah dan perintah' kerana apabila masyarakat Islam Melayu berpecah, mudah untuk PH melanjutkan pemerintahan serta melemahkan masyarakat Islam Melayu daripada kembali menguasai kerajaan," katanya. -UTUSAN ONLINE