Barangkali ekoran rungutan itu lagu berkenaan sudah tidak kedengaran lagi di stesen Radio Kelantan FM. Nampaknya ‘berkesan’ juga pihak yang menyuarakan rungutan.

Rupa-rupanya ada anak Melayu yang ‘alergik’ mendengar lagu itu. Mungkin sikapnya terlalu ‘berbaik sangka’, tanpa langsung merasakan kedaulatan bangsa sedang terancam di tanah air sendiri. Atau mungkin tidak terfikir berapa banyak sudah hak-hak keistimewaan Melayu terhakis dan terus dipersoalkan?

Bertanyakan orang-orang Melayu di sana sini berpandukan situasi yang ada, tiada pula yang menyuarakan mereka langsung tidak bimbang dengan nasib masa depan bangsa. Malah, melalui raut wajah rata-rata yang ditemui, mereka sukar menyembunyikan riak duka, resah ragu mencengkam jiwa.

Beberapa subjek sering terpancul dari tutur mereka, termasuk isu percubaan meratifikasikan Konvensyen Mengenai Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), usaha memperkenal subjek agama lain selain Islam dalam sistem pendidikan negara, isu kuota matrikulasi, usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan soal mengecilkan saiz penjawat awam.

Tidak kurang yang sukar ‘menelan keputusan’ bagi penempatan ketua-ketua di agensi-agensi strategik kerajaan. Sementara para pengusaha kecil, petani, penternak dan nelayan meluahkan keluhan tersendiri tentang nasib mereka. Belum termasuk rungutan pihak-pihak di isntitusi-institusi agama Islam tentang peruntukan atau geran bantuan tahunan yang menurut mereka jauh berbeza dengan sebelum ini.

Dan terkini ditambah dengan satu lagi cadangan ‘mendadak’ (abrupt) agar seorang Timbalan Perdana Menteri dilantik dari bangsa Cina. Tercetus pula ura-ura mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya, kononnya mengikut kepadatan penduduk.

Bukan sukar bagi orang Melayu yang mempunyai ‘roh’ sayangkan bangsa melihat agenda tersirat di sebalik segala cadangan ini. Nampak sangat sikap sesetengah pihak yang tidak sabar untuk ‘galak meniti di dahan yang bengkok…’.

Lalu, apa janggalnya dengan penyiaran lagu Warisan? Apakah lagu itu tidak sesuai dengan denyut nadi orang Melayu yang sedang mereka alami ketika ini? Apa salah bagi orang Melayu menghayati setiap bait lagu itu sekadar memperingati diri agar pusaka warisan tidak ‘jatuh ke tangan orang’ lain, dan cukup-cukuplah bersengketa sesama sendiri agar bangsa Melayu tidak diremeh dan diperlekehkan di tanah air sendiri?

Lagu itu memperingatkan Melayu agar jangan lalai leka membina kekuatan, baik dari segi ikatan perpaduan, pemilikan ilmu pengetahuan, mahu pun penguasaan ekonomi. Dan Melayu tidak seharusnya mudah terpedaya sehingga sanggup menggadai kepentingan yang sedia dimiliki.

Sepatutnya orang Melayu belajar dari ‘drama bersongkok’ di tanah seberang, di zaman sebelum Melayu kehilangan kuasa dan segalanya.

 

Suasana yang semacam mana lagi boleh membuatkan orang Melayu menginsafi diri? Tolong jangan permudahkan cara untuk mencapai matlamat. Perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama bukan semudah boleh dipupuk dengan mengadakan majlis-majlis berbuka puasa di kuil atau gereja, atau menjemput pemimpin bukan Islam merasmikan majlis-majlis berkhatam al quran, pengagihan zakat atau juga melakukan upacara bercukur bayi.

Sering disebut, bahawa membina ukhwah dan kekuatan bangsa bukan bererti untuk memerangi atau bersengketa dengan sesiapa atau mana-mana pihak. Apatah lagi hanya sekadar menghayati senikata lagu yang sarat dengan elemen mengingatkan bangsa agar tidak mudah alpa, dan mengajak untuk membayangkan nasib yang bakal menimpa, jika bangsa sudah ketiadaan maruah, jati diri atau bersalut dengan pelbagai kelemahan.

Iktibar perlu diambil dari bangsa-bangsa yang mudah dijajah di merata dunia. Langkah awal penjajahan adalah melalui menghilangkan segala unsur yang menjadi asas jati diri. Sehingga sampai ke suatu ketika, anak-anak bangsanya kehilangan segala unsur yang boleh dijadikan identiti, mahu pun untuk dijadikan sumber kebanggaan milik bangsa.

Semangat patriotisma dan sayangkan bangsa tidak terpupuk hanya melalui tempoh setahun dua. Segalanya akan terhimpun dan sebati di setiap sanubari anak bangsa melalui proses berterusan dengan pelbagai kaedah dan sumber, termasuk unsur seni dan budaya.

Teringat dialog Pak Ali dalam filem “Madu Tiga”, arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee… “Baik?...baik ada makna tuu….!”

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.