Kesemua peraturan dan undang-undang itu membabitkan penunggang motosikal dan pemandu kenderaan Malaysia yang bertujuan bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan tindakan termasuk dipenjara di negara ini.

Lima perkara itu ialah tidak merokok di 26 kawasan pantai popular yang ditetapkan; tidak menghisap rokok elektronik atau vape; tidak menggunakan walkie-talkie yang tidak berdaftar; mendaftarkan kenderaan yang dibawa masuk dan membeli insurans perlindungan kenderaan.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, kelima-lima peraturan dan undang-undang itu penting dipatuhi kerana masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari perkara tersebut.

"Bagi yang sudah biasa memasuki Thailand dengan kenderaan, boleh jadi mereka mengetahui tentang perkara ini, tetapi mungkin tidak bagi yang baharu (memasuki Thailand).

"Ini terbukti dalam kes baru-baru ini (Januari lalu), seorang rakyat Malaysia dipenjara kerana melakukan kesalahan membawa walkie-talkie dan malangnya dia tidak tahu tentang peraturan itu.

"Justeru pihak konsulat mengambil langkah proaktif untuk melancarkan kempen kesedaran ini untuk disebarkan ke platform media-media dan laman-laman sosial," katanya.

Beliau ditemui pada Kempen Kesedaran dan Kongsi anjuran Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia-Thailand (Maltha) dengan kerjasama Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla dan Thaksin University di sebuah hotel di sini.

Yang turut hadir Naib Gabenor Songkhla, Rachit Sudpoom dan Presiden Maltha, Soontorn Noiboonma.

Dalam pada itu, Mohd. Afandi memberitahu, terdapat beberapa kes yang ditangani Pejabat Konsul Malaysia di sini, kerana melanggar lima peraturan dan undang-undang yang ditetapkan berkenaan, namun jumlahnya tidaklah membimbangkan.

"Kita (konsul) mengambil langkah pencegahan awal bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang ditahan atas kesalahan undang-undang di negara ini.

"Ada antara peraturan itu masih baharu iaitu larangan merokok di kawasan pantai (popular) termasuk Pantai Samila di sini yang banyak dikunjungi rakyat Malaysia, yang dikuatkuasakan pada 2017," katanya. - UTUSAN ONLINE