Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebaliknya keupayaan orang Melayu, khususnya mereka yang turut menjadi orang tengah, perlu dipertingkatkan dalam industri itu.

Beliau menjelaskan, setiap aras orang tengah mempunyai peranan masing-masing dalam membantu memasarkan produk-produk nelayan.

"Kerajaan tidak boleh membeza-bezakan sesuatu kaum dan menghapuskan orang tengah. Apa yang kita boleh buat adalah mengurangkan rantaian ini (orang tengah) dengan mewujudkan pasar-pasar ikan segar, agar nelayan dapat menjual produk mereka secara terus.

"Kita juga telah bekerjasama dengan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) baru-baru ini dengan melancarkan jualan produk nelayan secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar setelah melepaskan perarakan bot nelayan pada Program Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia bersama nelayan di Kuala Jerlun di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Nekmat, Abdul Hamid Bahari.

Menurut Muhammad Faiz, pada masa ini, jualan secara dalam talian hanya dijalankan di ibu negara.

Katanya, sekiranya berjalan lancar, konsep tersebut akan diperluaskan ke bahagian utara tanah air iaitu di Kuala Jerlun, Kedah, manakala di pantai timur pula adalah di Kuala Besut, Terengganu. - UTUSAN ONLINE