Menterinya, Mohamad Sabu berkata, kementerian telah menyerahkan memorandum cadangan tersebut kepada Kementerian Kewangan untuk dibentangkan di peringkat Majlis Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menurutnya, sekiranya cadangan itu mendapatkan kelulusan kerajaan, pemberian elaun tersebut dapat membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penerima pingat berkenaan yang telah berjasa dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

“Kita telah menghantar memorandum cadangan itu namun kelulusannya bergantung kepada bajet tahun depan yang akan dibentangkan pada bulan Oktober ini.

“Justeru, kita akan teruskan usaha dari sekarang untuk memohon peruntukan bagi elaun ini (Elaun Kenangan) daripada Kementerian Kewangan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penganugerahan PJM di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh di sini petang ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pertahanan, Dr. Karminder Singh Dhillon; Ketua Staf Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Pada majlis itu, sebanyak 507 veteran ATM daripada pelbagai persatuan veteran seluruh Melaka dan Negeri Sembilan menerima pingat tersebut yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata nilai elaun yang akan diberikan itu bagaimanapun belum diputuskan kerana ia bergantung kepada peruntukan yang akan diluluskan kelak.

“Sehingga kini, sebanyak 27,109 veteran ATM dari seluruh negara telah menerima PJM daripada jumlah keseluruhan kira-kira 60,000 veteran yang telah dikenalpasti,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE