Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, ketika ini pihaknya berpandangan sebarang perancangan perlu melibatkan semua pemegang taruh terutamanya pensyarah dan pelajar IPG.

“Ini termasuk mengambil kira kesan jangka panjang dan masa hadapan landskap pembinaan pembangunan profesionalisme keguruan.

“Oleh itu, adalah tidak munasabah perkara seperti ini dibincangkan ketika kementerian sedang berusaha melaksanakan pembaikan dalam latihan perguruan bagi meningkatkan kualiti latihan guru di negara ini,” jelas kenyataan itu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan sebanyak 21 daripada 27 buah IPG di seluruh negara akan ditutup secara berperingkat mulai tahun depan dan perkara itu menyaksikan tahun ini menjadi tahun terakhir pengambilan penuntut oleh 21 IPG terbabit.

Selepas ini, hanya enam kampus IPG dikatakan akan terus beroperasi dengan tanggungjawab lebih besar bagi melatih bakal guru diberikan kepada universiti awam. - UTUSAN ONLINE