Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, pihaknya mempunyai kapasiti serta tenaga pengajar mahir lagi berpengalaman bagi menyediakan kakitangan terlatih dalam pengkhususan perawatan yang masih diperlukan di negara ini.

“Ketika ini, 10 peratus tempat di ILKKM diperuntukkan kepada sektor swasta dan kita melihat untuk meningkatkan sedikit bilangannya bergantung kepada permintaan.

“Pada dasarnya, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta ini akan dapat meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen ILKKM 2017 di ILKKM Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta melibatkan lebih 580 graduan di peringkat diploma dan sijil dalam sidang terakhir yang berlangsung hari ini di sini.

Antara program diploma lanjutan yang ditawarkan di ILKKM termasuklah dalam bidang pengimejan perubatan (payudara), perawatan onkologi, kebidanan, penjagaan kecemasan, perawatan paliatif, perioperatif, gerontologi, kardiovaskular dan kesihatan mental.

Dalam perkembangan berlainan, Subramaniam turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan kegiatan di luar selain meminum air yang banyak bagi mengelak terkena strok haba ekoran cuaca panas melanda beberapa negeri khususnya di Lembah Klang, sejak kebelakangan ini.

“Selain itu, sekiranya ada yang terasa hendak demam atau pitam, mereka diminta mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya. - UTUSNA ONLINE