Kembara selama 10 hari dari Johor Bahru dan berakhir di markas pasukan itu di Ulu Kinta di sini sejauh kira-kira 535 kilometer.

Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd. Yusoff berkata, kembara itu nanti juga akan disertak anggota pasukan khas seperti Paskal, Gerup Gerak Khas, Paskau dan Unit Tindak Khas.

Menurut beliau, ekspedisi yang diberi nama Comradeship Ride itu merupakan simbolik kesatuan anggota-anggota pasukan khas termasuk 69 Komando.

“Veteran komando luar negara yang turut serta ialah pasukan Special Air Service (SAS) dari Britain, Australia dan New Zealand. Ini kerana kumpulan perintis 69 Komando dilatih oleh SAS.

“Kembara ini akan dibahagikan mengikut beberapa kumpulan seramai 30 orang yang akan berkayuh sejauh 70km setiap hari,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Abdul Razak, sepanjang perjalanan mereka akan singgah di beberapa lokasi misalnya sekolah bagi mempromosikan 69 Komando selain menyampaikan sumbangan kepada veteran pasukan.

Kata beliau, majlis pelepasan ekspedisi itu nanti dijangka disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Kita mahu masyarakat tahu tentang pasukan 69 Komando. Jadi ini masa terbaik untuk kita turun padang bertemu dengan masyarakat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE