Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, Almarhum merupakan raja, pembina dan jurutera yang membawa nikmat pembangunan dan kemajuan yang begitu bernilai kepada negeri ini.

“Pelbagai projek pembangunan pendidikan rancak berjalan di bawah naungan Almarhum termasuklah kampus tetap UMP yang menyempurnakan peletakan batu asasnya pada 2 November 2002 dan pembangunan kampus tetap di Kuala Pahang, Pekan yang kini menjadi mercu tanda sebagai salah satu universiti teknologi terunggul bertaraf Dunia.

“Mewakili seluruh warga UMP, saya menzahirkan ucapan sembah takziah kepada seluruh keluarga Kerabat diRaja Pahang atas kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Seluruh warga UMP amat berdukacita dan sedih di atas kemangkatan Paduka Ayahanda yang sesungguhnya sebagai suatu kehilangan yang cukup dirasai buat warga UMP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Azhar berkata, Almarhum banyak menyumbang terhadap pembangunan universiti itu dan sebagai menghargai jasa dalam merintis usaha pembangunan dan kemajuan negeri ini, Sultan Ahmad Shah telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam pada Majlis Konvokesyen Komemoratif & Majlis Konvokesyen Ke-4 UMP pada 2009.

“Selain itu juga, UMP telah menerbitkan buku The Ruler, The Builder, The Engineer sebagai menghargai Almarhum dalam bidang Kejuruteraan Awam sebagai satu hubung kait yang tidak dapat dipisahkan apatah lagi dengan sifat seorang pemerintah yang sangat prihatin terhadap pembangunan Negeri Pahang dalam melihat negeri ini maju dan makmur untuk dinikmati oleh rakyat jelata,” katanya. - UTUSAN ONLINE