Siah Mohamad, 65, berkata, walaupun terkejut mereka sekeluarga tidak mampu menolak takdir yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik itu meskipun sangat terasa kehilangannya lebih-lebih lagi ketika persiapan resepsi perkahwinan yang dijadualkan pada cuti Tahun Baru Cina nanti.

Katanya, kali terakhir Wan Mohd. Baharul Nizam menelefonnya pada malam sebelum kejadian apabila dia meminta anaknya itu membelikan pinggan bewarna putih untuk persiapan resepsi perkahwinan sebelah keluarga lelaki yang akan diadakan pada 6 Februari nanti.

Menurutnya, warna putih dipilih untuk disesuaikan dengan piring lauk berwarna sama yang telahpun dibeli di Ikea sebelum ini manakala untuk kanopi dan tirai juga telah ditempah dan menunggu masa untuk dipasang.

“Jemputan menerusi whatsapp dan kad juga telah diedar kepada kira-kira 50 orang penduduk dalam kawasan rancangan ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut, dekat sini hari ini.

Semalam, mangsa bersama isteri, Norwaidah Abdul Hamid, 35, maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira pukul 1.13 petang.

Berita sedih itu diterima oleh kakak mangsa, Wan Rosina Wan Bakar, 48, setelah dimaklumkan seorang anggota polis bahawa mangsa lemas dalam kejadian kebakaran tersebut dan sedang dirawat.

Wan Rosina kemudian menghubungi seorang adiknya yang tinggal di Gombak lalu bergegas ke tempat kejadian sebelum dimaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat kejadian tersebut.

Siah berkata, mengikut perancangan, mangsa berhasrat mengambil cuti bermula 26 Januari lalu bagi menguruskan majlis resepsi tersebut tetapi membataskannya kerana masih ada urusan kerja di tempatnya bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Tambahnya, kali terakhir mangsa pulang adalah pada sambutan hari raya Aidilfitri lalu dan sejak dua minggu lalu turut menghantar pesanan whatsapp untuk menjemput rakan-rakannya ke majlis resepsi pihak keluarga lelaki ada 6 Februari nanti. - UTUSAN ONLINE