Ini kerana berdasarkan semakan pertubuhan itu, mangsa, Sariani Mohd. Shariff, 44, mempunyai caruman yang cukup untuk melayakkan warisnya menerima faedah itu meskipun kali terakhir ia dicarum adalah pada tahun 2011.

Pengarah Perkeso Melaka, Fadhilah Hamil berkata, skuad Prihatin Perkeso telah membuat semakan selepas menerima berita menyedihkan itu dan mendapati ibu kepada enam orang anak itu masih memenuhi syarat kelayakan di bawah Pencen Penakat.

“Jumlah faedah yang bakal diterima waris Allahyarham bergantung kepada caruman dan pendapatan terakhir diterimanya,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah mangsa di Kampung Bukit Kecil, Paya Dalam di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Sariani maut akibat dirempuh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika menghantar kuih untuk dijual di Kilometer 5, Jalan Melaka-Muar di Umbai, Jasin.

Fadhilah memberitahu, suami mangsa bakal menerima faedah tersebut sehingga akhir hayat manakala enam orang anak mereka yang berusia antara enam hingga 20 tahun akan mendapat manfaat itu sehingga usia mereka mencecah 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama. - UTUSAN ONLINE