Demikian menurut kakak Mohd. Tarmizi Shuib, 42, mangsa serangan pengganas di Christchurch, New Zealand mengenai kehilangan anak saudaranya, Mohd. Haziq, 17, dalam insiden pada Jumaat lalu.

Mariani, 49, berkata, dia dan seluruh ahli keluarga tetap mendoakan yang terbaik buat Mohd. Haziq walaupun kehilangannya telah memasuki hari keempat hari ini.

“Mohd. Haziq masih hilang sehingga hari ini dan tiada sebarang perkembangan tentangnya setakat ini tetapi kami tetap menaruh harapan agar dia ditemukan segera dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam serangan berdarah di dua buah masjid di Christchurch itu, Mohd. Haziq bersama bapa dan adiknya pergi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor sebelum lari bagi menyelamatkan diri sejurus terdengar bunyi tembakan.

Seramai 50 jemaah di masjid itu dan Masjid Linwood dilaporkan terbunuh, manakala tiga rakyat Malaysia termasuk Mohd. Tarmizi cedera akibat terkena tembakan.

Sementara itu, ujar Mariani, dia memahami bagaimana perasaan Mohd. Tarmizi dan adik iparnya, Marina Hamzah, 46, ketika ini ekoran kehilangan tanpa berita Mohd. Haziq yang sememangnya rapat dengan mereka.

“Saya juga memohon kepada semua pihak agar tidak membuat andaian tentang Mohd. Haziq termasuk mengatakan anak saudara saya itu telah meninggal dunia. Apa yang boleh saya katakan adalah tunggu maklumat sahih daripada Wisma Putra dan sama-sama berdoa agar dia ditemukan segera,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, dia dan abang, Zakaria, 55, serta sepupu, Nordina Ahmad Fauzi, 30, mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Singapura pada pukul 3 petang ini sebelum akan berlepas ke New Zealand pada pukul 7 petang ini.

“Saya akan terus melawat adik di hospital yang dijangka menjalani pembedahan kedua bagi mengeluarkan baki serpihan peluru pada belakang badannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE