ZULKIFLI SAFIE
ZULKIFLI SAFIE 

Seorang pesara, Zulkifli Safie, 72, berkata, generasi muda ketika ini dilihat kurang semangat petrotisme dan hanya memandang remeh tentang jasa yang pernah dilakukan Utusan selama ini.

“Minggu lalu saya terdengar operasi syarikat Utusan akan ditutup, saya begitu terkejut dan dalam hati saya terdetik mungkin keadaan ini berlaku kerana generasi baru kita yang kurang ambil peduli kepada syarikat ini.

“Saya berharap agar generasi kita memelihara khazanah yang kita ada ini sama-sama walaupun dunia kita semakin maju dan canggih saban tahun,” katanya ketika ditemui Kosmo Ahad! semalam.

Dalam pada itu, penghibur jalanan, Habibunisa Mohd. Azim, 41, pula berkata, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan salah satu wadah perjuangan bagi bangsa Melayu perlu melakukan sedikit perubahan bagi terus menarik minat pembaca.

“Kita sedia maklum bahawa berita serta artikel-artikel yang disiarkan melalui dua akhbar ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

“Namun sedikit perubahan perlu dilkukan terutamanya bagaimana cara untuk menarik minat orang-orang muda bagi terus membaca akhbar-akhbar ini.

“Sayang sekali sekiranya akhbar ini tidak mendapat sokongan daripada rakyat serta orang-orang Melayu kerana jasa Utusan terutamanya cukup besar dalam membina maruah bangsa,”jelasnya.

Dalam pada itu bagi Penolong Pengurusan Bahagian Pemasaran Utusan, Munirah Adnan berkata, pihaknya ketika ini sedang menjalankan pelbagai program bagi memastikan kelangsungan dua akhbar ini terus berjalan.

“Hari ini pihak kami mengagihkan 100 naskah akhbar Utusan dan Kosmo! secara percuma dikawasan kompleks beli belah Sogo, ternyata sambutan agak menggalakkan.

“Saya menyeru agar orang ramai terus menyokong dan membeli dua akhbar ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE