Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Ke-2 Felda, Mohd. Stap Othman berkata, kegagalan agensi terbabit termasuk Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTPSB) dalam menghasilkan produktivi­ti yang berkualiti antara punca utama berlakunya masalah ber­ke­naan.

Menurutnya, masalah tersebut bermula daripada kegagalan proses tanam semula, pengurusan operasi mengikut amalan pertanian dan juga pengelua­ran hasil yang berkuantiti dan berkualiti dengan baik.

“Terdapat juga pelanggaran perjanjian yang termaktub mengenai kualiti benih yang ditanam, taburan baja berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) perladangan sawit dan getah, pengurusan jalan pertanian serta kawalan musuh penyakit terhadap ladang pene­roka yang diuruskan agensi terbabit.

“Peneroka telah membuat aduan dan laporan kepada beberapa pihak melalui pelbagai saluran, namun tindakan diambil oleh Felda dan FTPSB daripada peringkat rancangan, wilayah serta ibu pejabat amat mengecewakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Stap turut mendakwa tindakan Felda yang menyediakan penya­ta kewangan tidak telus telah menyebabkan keberhutangan pene­roka menjadi tinggi.

“Felda dan FTPSB dengan jelas gagal memuktamadkan penyata kewangan peneroka mengikut prinsip perakaunan dengan membentangkan perincian perbelanjaan dan pendapatan serta mendapat persetujuan kedua belah pihak untuk nilai yang dicatat dalam penyata yang telah dikeluarkan.

“Bayaran kembali hutang yang dipotong dan tabungan dicarum melalui pendapatan bulanan peneroka seperti tabung tanam semula, jalan pertanian, tabung minda, pemulihan ladang, insurans ladang juga gagal dibentangkan jumlah terkumpul dan dibe­lanjakan malah dimasukkan dalam bahagian perbelanjaan serta dikenakan caj faedah ke atasnya,” katanya.

Tambahnya, perkara tersebut jelas menunjukkan pengurusan kewangan Felda juga gagal menjalankan tanggungjawab untuk memastikan pembayaran pendapatan peneroka dilakukan pada masa yang ditetapkan.

“Mengikut data sedia ada, 66 peratus ladang peneroka telah mengeluarkan hasil sepenuhnya dan dihantar ke kilang melalui Felda. Sepatutnya tiada masalah bagi Felda untuk membayar hasil sebenar peneroka setelah ditolak kos operasi dan tolakan bayaran kembali hutang serta lain-lain pinjaman sosial.

“Ini juga mewujudkan kebimbangan bahawa hasil ladang peneroka digunakan untuk menanggung operasi Felda,” ujar­nya.