Menurut Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 1 bagi Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, jumlah aset MIDF adalah melebihi jumlah liabiliti untuk tempoh yang sama.

Tahap kecairan juga adalah baik iaitu pada kadar 18.8:1 pada 2017 yang menunjukkan kemampuan MIDF dalam menampung liabiliti semasanya.

Sehingga 31 Dis 2017, keuntungan terkumpul syarikat adalah sebanyak RM617.96 juta, manakala baki tunai dan kesetaraan tunai MIDF pada akhir 2017 adalah positif iaitu berjumlah RM464.55 juta.

Pengauditan dijalankan antara bulan Mei hingga September 2018.

Dalam pada itu, pihak audit berkata prestasi pencapaian skim pinjaman secara keseluruhannya masih belum mencapai tahap optimum kerana penggunaan dana hanya mencapai 74.2 peratus daripada saiz dana sedia ada pada tahun 2017.

“Prestasi penggunaan dana mengikut skim iaitu Skim Pinjaman Mudah Untuk Sektor Perkhidmatan (SLSSS), Skim Pinjaman Mudah Untuk Usahawan Automotif Bumiputera (SLBAE) dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Pengeksportan Perkhidmatan (SLSSE) untuk tempoh tiga tahun adalah kurang cekap kerana hanya mencapai antara sifar hingga 40.6 peratus dengan skim SLSSE tidak merekodkan sebarang penggunaan dana untuk tempoh tersebut,” kata laporan itu.

Sementara itu, laporan itu menyebut prestasi pengurusan kutipan bayaran balik pinjaman bagi skim SLSSS, SLSAM dan SLBAE membabitkan tahun 2015 hingga 2017 adalah cekap kerana kutipan bayaran telah mencecah antara 84.4 peratus hingga 99.7 peratus.

Manakala keberkesanan kutipan untuk Skim Pinjaman Mudah Bagi Pembangunan Kapasiti Perkhidmatan (SLSCD) dan Skim Pinjaman Mudah Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SLSME) perlu dipertingkatkan kerana hanya mencapai 64.6 peratus serta 70.5 peratus.

Secara keseluruhan, berdasarkan pengauditan terhadap tadbir urus korporat, kedudukan kewangan dan aktiviti pengurusan skim pinjaman serta penyaluran geran, objektif pemberian pinjaman dan penyaluran geran telah tercapai selaras dengan objektif penubuhan MIDF.

Audit juga mengesyorkan MIDF agar meningkatkan penggunaan dana skim SLSSS dan SLBAE, meningkatkan usaha kutipan bayaran balik pinjaman bagi skim SLSCD dan SLSME, serta mengkaji semula skop skim atau keperluan geran dari kerajaan bagi skim SLSSE yang tiada sambutan agar dana dapat dimanfaatkan untuk lain-lain skim.- BERNAMA