Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau hairan kerana jawapan-jawapan yang diterima daripada kerajaan negeri selama ini untuk projek pembangunan dan kajian adalah sama.

"Saya tidak nampak akan ada apa-apa kemajuan kepada negeri ini kerana sikit-sikit kena tunggu peruntukan kerajaan Pusat, nak buat itu dan ini kena tunggu bantuan kerajaan Pusat.

"Sebenarnya, negeri ini ada atau tidak hasil mereka untuk tujuan pembangunan dan sebagainya, kerana kalau begini langkah mereka, Kedah tidak akan bergerak (maju) ke hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Kopi 'O' Bersama YB yang disiarkan menerusi siaran langsung Facebook Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah di sini, hari ini.

Program tersebut dikendalikan Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri selain turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd. Noor selaku ahli panel.

Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri turut menyentuh kebimbangan pencemaran alam sekitar yang melibatkan kilang haram memproses sisa plastik dan industri di Sungai Petani.

Katanya, kerajaan negeri perlu bertindak segera bagi mengelakkan daerah yang berada paling selatan di negeri ini bertukar menjadi kawasan bencana seperti yang berlaku di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

"Mereka tidak boleh memikirkan hanya untuk menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi semata-mata kerana perkara yang lebih penting adalah menilai isu keselamatan melibatkan penduduk di kawasan itu," katanya. -UTUSAN ONLINE