Menurut kenyataan dikeluarkan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, kawasan yang berjaya dipadamkan itu melibatkan 5 hektar daripada keseluruhan 7.5 ekar yang terbakar sejak 3 September lalu.

"Kerja-kerja pemadaman kebakaran melibatkan seramai 35 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, lapan anggota BBP Pekan Nanas, tujuh anggota BBP Jalan Alsagoff dan dua BBP Rengit.

"Turut terlibat lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela Permas dengan seorang anggota dan 10 kakitangan Mardi," demikian menurut kenyataan berkenaan hari ini.

Tiga kaedah pemadamam digunakan dengan menggali parit, membanjirkan kawasan terlibat agar air meresap dan pancutan terus ke kawasan kebakaran.

Sementara itu, Majlis Daerah Pontian (MDP) turut bersedia mengerakkan kakitangannya untuk membantu kerja-kerja memadamkan kebakaran jika diarah berbuat demikan pada bila-bila masa.

Yang Dipertuanya, Noor Syazlan Abdul Razak berkata, seramai 20 kakitangan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia membantu operasi pemadaman ladang seluas kira-kira 7.5 hektar itu.

"Pihak kami telah memberikan bantuan sebuah jengkaut bersama-sama pemandu jengkaut bagi operasi pemadaman yang melibatkan beberapa agensi dan jabatan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat dan APM," katanya dalam satu kenyataan. - UTUSAN ONLINE