Semalam, bacaan IPU menunjukkan sebuah stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahan baik, manakala tiada stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat 21 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini berbanding 16 stesen semalam.

Stesen terbabit ialah Balik Pulau, Pulau Pinang (IPU 110), Seri Manjung, Perak (IPU 124), Batu Muda, Kuala Lumpur (IPU 133), Cheras (IPU 137), Putrajaya (IPU 152), Kuala Selangor (IPU 120), Petaling Jaya (IPU 138), Shah Alam (IPU 141), Klang (IPU 132), Johan Setia (IPU 177), Banting (IPU 130) dan Nilai, Negeri Sembilan (IPU 155).

Lain-lain stesen dengan bacaan IPU tahap tidak sihat ialah Seremban (IPU 127), Port Dickson (IPU 113), Alor Gajah (IPU 109), Bukit Rambai (IPU 106), Bandaraya Melaka (IPU 104), Sri Aman, Sarawak (IPU 159), Samarahan (IPU 128), Kuching (IPU 147) dan Tangkak, Johor (IPU 133).

Jelasnya, sebuah stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada hari ini iaitu di Rompin, Pahang dengan bacaan IPU 226.

"Ini disebabkan kebakaran belukar seluas lima ekar di Kampung Gading berhampiran dengan stesen pemantauan udara di Rompin, Pahang. Pemadaman kebakaran tersebut sedang di dalam tindakan pihak bomba dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak JAS. Manakala tiada kebakaran dilaporkan daripada aktiviti perladangan di Johan Setia, Klang.

"Kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak," jelas JAS dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menruut JAS lagi, pihaknya telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari masa ke semasa.

Tambahnya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) mengesan 20, 554 titik panas (hotspot) di Sumatera dan 736 titik panas (hotspot) di Kalimantan.

Di dalam negara pula, sebanyak 24 titik panas dikesan iaitu di Johor empat titik panas, Selangor (1), Pahang (1), Perak (3), Kedah (1), Sabah (3) dan Sarawak (11).

"Terdapat titik-titik panas yang tidak dapat dicerap oleh imej satelit disebabkan oleh litupan awan yang tebal dan laluan satelit tidak dicerap sepenuhnya.

"Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada 10 September 2019 menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu daripada kawasan-kawasan kebakaran di Barat, Tengah dan Selatan Kalimantan, Indonesia dan di Jambi, Riau, Sumatera Selatan dan Lampung di Sumatera, Indonesia.

"Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan dan Sumatera yang terjejas ke kawasan bahagian Barat Sarawak dan seluruh Semenanjung Malaysia dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasankawasan tersebut," jelasnya. - UTUSAN ONLINE