Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, itu dimaklumkan oleh pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN) semasa beliau menziarahinya pagi ini.

“Alhamdulillah keadaan mangsa dilaporkan bertambah baik berbanding ketika dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

“Malah keluarganya juga mempunyai keyakinan tinggi melihat perkembangan kesihatan mangsa 
yang mulai positif. Kita berdoa semoga beliau segera pulih daripada kecederaan dialami,” katanya dalam sidang akhbar di IJN di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut mengalami kerosakan akibat diserang kumpulan perusuh.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sebelum ini memaklumkan, anggota berkenaan diserang ketika pasukannya tiba di lokasi selepas mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar. - UTUSAN ONLINE