Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, individu tersebut akan dipilih dalam kalangan bukan Melayu selain seorang lagi anggota yang bakal menggantikan bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor yang menarik diri pada 2 Julai lalu.

“Keputusan menarik diri itu adalah pilihan beliau sendiri. Kita telah maklumkan kepada pasukan itu mengenai keputusan beliau yang mendapat reaksi pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, dari peringkat kementerian juga, kita akan menamakan pengganti dan mungkin seorang lagi dalam kalangan bukan Melayu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Wilayah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Muhyiddin berkata, mesyuarat PPK itu dijangka berlangsung dalam masa terdekat ini.

Selasa lalu, Mokhtar mengumumkan penarikan diri beliau secara sukarela dari PPK.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat Mokhtar atas rasa tanggungjawab untuk memelihara integriti dan ketelusan PPK itu berikutan tindakan sesetengah pihak yang mempersoal kesesuaian beliau dalam PPK itu.

26 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan enam anggota PPK yang akan menyiasat kes kehilangan dua aktivis sosial selain menyiasat dapatan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, pasukan itu diberi tempoh enam bulan untuk melakukan siasatan, bermula dengan kes kehilangan Amri.- UTUSAN ONLINE