Exco Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK), Abdul Wahab Khalid berkata, undang-undang itu perlu bagi membolehkan kesenian tulisan khat terus terpelihara.

Katanya, PSKK sukar untuk menegur pihak yang melakukan kesalahan dalam seni khat itu kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

"Kebanyakan kesalahan tulisan khat ini dijumpai di dalam barangan hiasan seperti pelekat kereta...oleh itu, PSKK telahpun mengambil inisiatif untuk menelefon penggiat seni tersebut dan menegur kesalahan ayat.

"Namun, mereka pertahankan kesalahan itu dengan menyatakan ia adalah rekabentuk dan gaya mereka sendiri untuk menghasilkan karya hiasan itu," katanya kepada Bernama selepas sesi pengenalan seni khat pada Bengkel Kaligrafi Jawi di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, Abdul Wahab berkata, terdapat seni tulisan khat yang dijual ke luar negara turut mengandungi kesalahan ayat.

"Sekiranya ada pihak lain yang perasan kesalahan itu, ia akan memberi kesan kepada negara kita kerana tidak meneliti kesalahan itu," katanya.

Bengkel anjuran Jabatan Warisan Negara itu disertai lebih 60 peserta daripada pelbagai peringkat umur. Selain sesi demonstrasi Khat Diwani dan pertandingan khat, cabutan bertuah dan jualan turut diadakan. - BERNAMA