Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, inisiatif itu juga bagi menggalakkan anak muda di Pulau Mabul untuk melakukan aktiviti yang sihat sekali gus menghindari perkara tidak bermanfaat.

Syed Saddiq dalam kenyataannya di sini berkata pembangunan gelanggang itu selari dengan perancangan Program Sukan Luar Bandar yang sedang dilaksana KBS.

“Ini bagi memberi peluang seluas-luasnya kepada rakyat dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) bersaing untuk terlibat dalam aktiviti sukan seterusnya menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi, di samping memberikan ruang kepada golongan sasar khususnya remaja membudayakan gaya hidup sihat,” katanya.

Hari ini, Syed Saddiq meluangkan masa melawat sekitar kampung-kampung di Pulau Mabul bagi melihat sendiri aktiviti anak muda serta kemudahan yang diperlukan penduduk setempat.

Sepanjang lawatan beliau di pulau itu, pelbagai aktiviti sukan diadakan bersama komuniti tempatan seperti pertandingan bola sepak pantai, bola tampar pantai dan pertandingan bola keranjang.

Menerusi sambutan ditunjukkan penduduk sepanjang lawatannya, beliau yakin usaha positif KBS diterima baik. Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Setiausaha KBS Waitchalla Suppiah serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim.

Semalam, Syed Saddiq yang hadir pada perasmian Program Sukan Luar Bandar di Kunak melahirkan hasrat membuat lawatan sekurang-kurangnya sebulan sekali ke Sabah atau Sarawak bagi mencari kawasan fokus untuk pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar.

Katanya, KBS mempunyai banyak perancangan untuk membangunkan sukan luar bandar di Sabah dan Sarawak. - BERNAMA