Itu taktik digunakan segelintir pihak termasuk syarikat penjual motosikal bagi mengaut keuntungan sampingan dengan me­ngenakan caj memproses pinjaman sedangkan pihak terbabit mengetahui peminjam sukar untuk mendapatkan kelulusan da­ripada syarikat kewangan.

Lebih menyedihkan, ramai individu dalam kalangan tidak cukup syarat seperti tidak mempunyai penyata gaji, wang pendahuluan yang terhad serta nama disenarai hitam menjadi mangsa apabila wang mempro­ses pinjaman selepas permohonan mereka ditolak.

Hasil penelitian, Utusan Malaysia terhadap 10 buah kedai di sekitar ibu negara mendapati, lima daripadanya mendakwa mampu membantu menyelesaikan masalah terbabit yang turut mengenakan caj pemprosesan pinjaman.

Namun, bayaran berkenaan bukanlah jaminan bahawa permohonan pinjaman bakal pembeli akan diluluskan oleh institusi kewangan.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa, kelompok peniaga ber­kenaan hanya mengambil ke­sempatan walhal dari awal sudah mengetahui permohonan itu pasti ditolak institusi pemberi kemudahan kredit.

Kadar caj pula adalah berbeza-beza mengikut kedai iaitu antara RM100 hingga RM300 tanpa merujuk harga sesebuah motosikal.

Bayangkan jika 10 permohonan daripada individu ‘terdesak’ ini cuba mendapatkan pinjaman namun ditolak, syarikat itu mampu mengaut untung hampir RM3,000 dengan mudah.

Situasi ini bercanggah de­ngan Perkara 8, Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2017 yang mana bagi setiap barangan bernilai RM30,000 ke bawah, caj pengurusan permohonan yang boleh dikenakan hanyalah RM50.

Manakala, barangan bernilai RM30,001 dan ke atas pula adalah RM51 hingga RM100.