Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, katalog itu mengandungi senarai perundangan utama iaitu enakmen dan ordinan di samping perundangan subsidiari membabitkan undang-undang kecil, perintah, kaedah dan peraturan di bawah seliaan pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, inisiatif berterusan itu merupakan sebahagian pelaksanaan aktiviti Amalan Baik Peraturan (GRP) ke arah meningkatkan kecekapan kawal selia dan kesesuaian pelaksanaannya dengan keadaan persekitaran semasa.

“Peraturan yang tidak sesuai akan ditambah baik atau dihapuskan untuk mengurangkan beban yang tidak wajar dan kos pematuhan yang ditanggung oleh pihak yang berkepentingan. Saya bagi satu contoh, dahulunya kita mengalu-alukan kedatangan pelabur luar dalam konteks umum dalam negara, sehingga kita menubuhkan pusat sehenti, tetapi kalau kemudahan (pusat sehenti) itu tidak ditingkatkan kualiti dan kecekapan, tentunya pelabur yang datang terpaksa berurusan dengan pelbagai agensi.

“Sebagaimana kita lihat di negara maju pusat sehenti benar-benar menjalankan fungsinya dengan semua urusan dilakukan di situ, berbeza di negara kita yang seseorang mungkin perlu berurusan dengan agensi lain atau kadang-kadang perlu mengulangi proses sama yang sekali gus menyebabkan permohonan tertentu yang mungkin boleh disingkatkan kepada satu bulan menjadi hingga ke tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Katalog Perundangan Negeri Terengganu dalam Persidangan Antarabangsa Berkaitan Undang-Undang dan Globalisasi (ICLG) 2019 di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Penasihat Undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Hussain dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Unisza, Prof. Dr. Mohd. Afandi Muhamad.

Katalog setebal 55 muka surat itu dibangunkan dengan MPC melalui kerjasama dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri di samping Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Unisza

Sementara itu, A. Rahman berkata, peraturan di bawah katalog perundangan itu akan diaplikasikan ke semua jabatan di bawah kerajaan negeri supaya sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih baik sekali gus mengurangkan kos pelaksanaan sesuatu perniagaan.

Katanya, langkah itu, dalam masa sama akan mengalakkan kedatangan lebih ramai usahawan atau pelabur ke Terengganu. - UTUSAN ONLINE