Kasih sayang sejati Mohd. Hisyam Ismail, 11, terhadap Nurdina, 7, turut mendorong anak kedua daripada empat beradik itu berkongsi makanan dan minuman yang diperoleh daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya dengan adiknya pada setiap hari.

Guru besar sekolah itu Mohd. Sabri Mat Jaya berkata, walaupun Mohd. Hisyam mempu­nyai masalah pembelajaran dan merupakan orang kurang upaya (OKU), kekurangan itu bukan halangan untuknya melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang abang penyayang sebagaimana kanak-kanak sempurna.

Katanya, rutin menyuap dan berkongsi makanan dengan Nurdina bukan sesuatu yang asing buat murid tahun lima itu, malah dia turut memimpin adiknya hingga ke kelas bagi memastikan keselamatan orang tersayang sentiasa terjaga.

“Nurdina memulakan persekolahan di sini sejak di peringkat pra lagi dan sebaik sahaja memasuki tahun satu keakraban dua beradik ini mula menjadi perhatian warga sekolah apabila kita dapat menyaksikan ‘pemandangan indah’ yang jarang-jarang sekali berlaku, yang penuh dengan nilai kasih sa­yang dan keikhlasan sampaikan saya sendiri terharu.

“Pemberian RMT untuk murid tahun satu hanya akan bermula pada bulan depan tetapi Mohd. Hisyam tidak lokek berkongsi makanan dengan adiknya. Budaya menyuap makanan ini memang sebati dengannya kerana di rumah dia turut menyuap dua lagi adik lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Gambar kedua-dua beradik yang tular sejak minggu lalu itu mendapat pujian ramai dengan rata-rata pengguna laman sosial mendoakan mereka membesar menjadi anak soleh dan solehah di samping turut mengimbau nostalgia sewaktu kecil bersama adik-beradik masing-masing.

Menurut Mohd. Sabri, Mohd. Hisham merupakan murid yang baik walaupun sedikit pendiam, malah pihak sekolah juga mempunyai hubungan baik dengan ibu bapanya kerana mereka merupakan penerima sumbangan dalam program Ziarah Ramadan keluarga murid kurang berkemampuan yang dilaksanakan sekolah.

“Setiap tahun kami ke rumahnya di Kampung Pak Kancil Dalam untuk menyampaikan barangan keperluan.

“Sebagai guru besar sekolah ini, saya berbangga memiliki murid berakhlak terpuji sebagaimana dua beradik berkenaan. Malah saya turut mencetak gambar mereka dan digantung di pejabat sebagai motivasi untuk anak-anak lain selaras usaha untuk mewujudkan sahsiah unggul dalam kalangan warga SK Putera Jaya,” katanya.

SK Putera Jaya mempunyai 323 murid tahun satu hingga enam manakala prasekolah 25 orang dengan guru dan kakita­ngan pentadbiran sebanyak 33 orang.