Didorong rasa kasih dan cinta yang telah dilafaz sejak mereka diijabkabul menyebabkan Siti Fatimah Nor Abdul Rahim, 36, nekad menjaga Mohd. Faizal Che'Leh, 40, tanpa merungut menerima ujian Allah SWT tersebut.

Siti Fatimah juga mengambil alih tugas ketua keluarga untuk mencari rezeki bagi memastikan segala perbelanjaan harian keluarga dan kos perubatan suami mencukupi.

Ibu kepada empat anak itu berkata, keluarganya kini bergantung kepada pendapatannya sebagai guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM801 sebulan yang jelas tidak mencukupi bagi menanggung kos perubatan suami serta belanja harian keluarga.

"Setiap bulan kos ubat dan susu suami mencecah RM1,000, jadi saya terpaksa meminta sumbangan wang daripada adik-beradik. Saya juga perlu bawa dia berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu untuk rawatan susulan.

"Dengan gaji RM801 ini juga, saya gunakan untuk beli keperluan harian serta perbelanjaan persekolahan anak-anak yang berumur antara 9 hingga 14 tahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, keluarga Siti Fatimah menerima dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang turut memberi sumbangan kepada mereka sempena program Ziarah Kasihnya Ramadan.

Bercerita lanjut, Siti Fatimah berkata, sebelum ini suaminya bekerja kampung dan selepas disahkan menghidap penyakit itu dia tidak lagi dapat melakukan sebarang pekerjaan dan hanya mampu terlantar di rumah. 

“Pada tahun 2017, suami saya mengadu sakit kepala dan sakit gigi sahaja sebelum dibawa menerima rawatan di Klinik Gigi Gua Musang, namun keadaannya semakin serius.
 
“Selepas itu, pada tahun lepas saya membawanya pergi membuat rawatan di HUSM dan suami disahkan menghidap kanser tahap empat. Hingga kini keadaannya belum berubah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank  153047914551 atau menghubungi Siti Fatimah sendiri di talian 0139925067. - UTUSAN ONLINE