Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia berikutan kejayaan KUD di beberapa lokasi sebelum ini seperti di Pulau Pinang yang mencatat jumlah jualan hampir RM500,000 melibatkan 218 penyertaan usahawan dan di Terengganu dengan jumlah jualan RM1.6 juta manakala di Sabah meningkat kepada RM3.2 juta.

“Di Putrajaya, kita lipat gandakan usaha dan lokasi strategik itu membolehkan ramai pengunjung hadir...kita anggarkan 1,000 usahawan luar bandar akan turut serta dengan kira-kira 2 juta pengunjung dijangka hadir serta melibatkan 1,000 reruai pameran dan jualan produk usahawan desa.

“Pada KUD ini juga kita himpunkan usahawan seluruh negara termasuklah usahawan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penjara Malaysia dan orang kelainan upaya,” katanya pada sidang media selepas majlis Prapelancaran KUD 2019 di sini, hari ini.

Katanya, KUD yang diadakan selama lima hari itu juga bakal dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 19 Oktober ini.

Dalam pada itu, Rina berkata, KUD juga merupakan medium mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli selain mengadakan jualan terus kepada pengguna.

“Ia juga dapat memperkukuh dan melebar luaskan jaringan antara usahawan luar bandar dengan para pembekal mesin, peralatan atau teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti produk mereka,” katanya.

Selain itu, katanya pelbagai inisiatif baharu dibawakan pada KUD di Putrajaya antaranya penggunaan aplikasi Kod QR dan aplikasi mobil oleh pengunjung dan pempamer bagi tujuan transaksi jual beli serta penggunaan e-wallet dalam kalangan usahawan.

Karnival Usahawan Desa adalah program pemasaran di bawah KPLB bertujuan memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar melalui peluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran.

Program itu diadakan pada setiap dua tahun dan tahun ini KUD diadakan secara berperingkat bermula di Zon Utara (Pulau Pinang, 29 Mac-1 April 2019) seterusnya ke Zon Timur (Terengganu, 25-27 April 2019), Zon Sabah (Kota Kinabalu, 22-25 Ogos 2019) serta acara kemuncak akan berlangsung di Putrajaya yang bakal memaparkan pelbagai acara menarik. - BERNAMA