Menterinya, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, karnival itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai untuk menghayati gagasan pentadbiran Islam yang dibawa kerajaan.

“Meskipun program ini dinamakan Karnival Rahmah tetapi ia merupakan karnival yang menyasarkan seluruh rakyat untuk hadir tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

“Karnival ini mahu mengajak orang ramai untuk hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati. Orang ingat ada unsur Islam semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan orang lain tetapi ia sebenarnya untuk semua selaras dengan keperluan dalam maqasid syariah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, karnival itu akan dijayakan melalui kerjasama rakan strategik daripada pelbagai agensi, kementerian dan pihak swasta dengan berkonsepkan karnival dalam karnival.

Katanya, semua pihak sama ada daripada sektor kerajaan mahupun swasta diseru untuk menjadi rakan strategik dalam usaha menjayakan karnival tersebut.

Karnival Rahmah 2019 akan dianjurkan pada 26 September hingga 29 September ini di Putrajaya sebelum diteruskan di Pulau Pinang dan Kelantan pada tarikh terpilih. - UTUSAN ONLINE